am@hmetro.com.my
Kuching: Kes bunuh diri di Malaysia terus menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 1,114 kes pada 2024, berbanding 1,087 kes 2023 dan 981 kes pada 2022.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata perkembangan itu menuntut kerjasama strategik semua pihak bagi memperkukuh langkah pencegahan dan intervensi awal.
“Setiap nyawa yang terkorban meninggalkan kesan mendalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 135 individu terdekat turut terkesan dari segi emosi, sosial dan ekonomi bagi setiap kes bunuh diri,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2025 di Dewan Kompleks Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.
Sambutan bertemakan “Ubah Tanggapan, Bina Harapan” dengan fokus mengubah naratif masyarakat terhadap tingkah laku bunuh diri, mengurangkan stigma serta mewujudkan empati terhadap individu yang berdepan masalah kesihatan mental.
Lukanisman berkata, kerajaan turut menguatkuasakan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023, Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 dan Akta Kesihatan Mental (Pindaan) 2023, bermula 10 September 2025, sekali gus menyempurnakan usaha menyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri di Malaysia.
Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan Garis Panduan Sokongan Pasca Kematian Akibat Bunuh Diri (Postvention) yang dijangka siap pada awal 2026, meliputi kaunseling, psikoedukasi dan sokongan krisis kepada waris serta komuniti terkesan.
“KKM turut bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Program Minda Sihat Sekolah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui IYRES, serta Kementerian Komunikasi bersama CMCF dalam membangunkan Suicide Content Guideline bagi memastikan pelaporan media lebih selamat dan beretika,” katanya.
Beliau menegaskan, isu bunuh diri bukan hanya masalah individu, sebaliknya tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
“Bunuh diri boleh dicegah. Dengan sokongan bersepadu dan empati, kita mampu mengubah tanggapan serta membina harapan kepada mereka yang sedang berjuang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




