Kes bunuh, kerat wanita: Warga emas 72 tahun dibicarakan 17 hari

Kes bunuh, kerat wanita: Warga emas 72 tahun dibicarakan 17 hari

news@nst.com.my

Kota Kinabalu: Lelaki warga emas yang didakwa membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan dalam keadaan dikerat di Sepanggar, dekat sini, Februari lalu, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini, bermula 14 Disember depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menetapkan perbicaraan selama 17 hari terhadap tertuduh, Piluta Samad, 72,

Pihak pendakwaan dijangka memanggil 35 saksi sepanjang perbicaraan berkenaan.

Mahkamah turut menetapkan 16 November bagi pengurusan kes praperbicaraan dan mengarahkan supaya pernyataan saksi diserahkan selewat-lewatnya pada 30 November.

Piluta sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh itu di Mahkamah Tinggi di sini, pada 14 September lalu.

Dia didakwa membunuh Hamidah Husin @ Lisa, 44, antara jam 6 petang hingga jam 7 malam pada 11 Februari 2026, di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar di sini.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun.

Sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki yang berumur di bawah 50 tahun juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Sabah, Naziah Mokhtar, serta Timbalan Pendakwa Raya Samira Khalili dan Ronnie Anthony.

Piluta diwakili oleh peguam, Datuk Ram Singh, Joan Goh, Ian Vun, Prem Elmer Ganasan dan Prabjit Singh Gill.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top