am@hmetro.com.my
Tawau: Peguam bela dalam perbicaraan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu pada Mac lalu, mendakwa saksi pendakwaan tidak kompeten dan berbohong.
Peguam Datuk Ram Singh berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-20 pada prosiding kes itu di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol yang memasuki hari ke-10, hari ini.
Beliau mendakwa saksi itu berbohong selepas gagal memberikan jawapan munasabah termasuk tidak mengetahui tarikh pernyataan saksinya disediakan.
Datuk Ram Singh: Bila kamu tahu, kamu akan jadi saksi dalam kes ni?
Saksi: Hari ini.
Datuk Ram Singh: Pernyataan saksi kamu ini, siapa yang sediakan?
Saksi: Tiada.
Datuk Ram Singh: Kamu menaip pernyataan saksi ini, bila?
Saksi: Tidak pasti.
Datuk Ram Singh: Setuju saya katakan, kamu tidak tahu bila pernyataan saksi ini disediakan?
Saksi: Setuju.
Datuk Ram Singh: Setuju saya katakan, kamu bukan saksi yang kompeten dalam kes ini untuk bagi keterangan.
Saksi: Tidak setuju.
Terdahulu, peguam Jhesseny Kang memohon kepada mahkamah supaya sesi pemeriksaan balas ditangguhkan ke esok berikutan kekangan masa selepas pernyataan saksi pendakwaan ke-20 itu hanya diperoleh kelmarin.
Bagaimanapun, Duncan mengarahkan supaya prosiding diteruskan dan membenarkan peguam itu menyediakan soalan untuk sesi pemeriksaan balas sebelum mahkamah berhenti rehat selama 30 minit.
TAWAU, 5 DISEMBER 2024: Peguam Datuk Ram Singh ketika ditemui ahli keluarga tertuduh di Mahkamah Tinggi Tawau, di sini, hari ini. NSTP/Abdul Rahemang Taiming.
© New Straits Times Press (M) Bhd




