Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan penuntut universiti di Cyberjaya, 24 Jun lalu akan didakwa di Mahkamah Sepang, esok.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pertuduhan akan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Seorang suspek akan dituduh esok. Pertuduhan terhadap suspek akan dikemukakan di Mahkamah Sepang pada jam 8.30 pagi esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Setakat ini, tiga individu berusia antara 19 hingga 20 tahun, terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, ditahan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima pada 24 Jun lalu.
Mereka ditangkap di Johor Bahru, Johor dan Gemencheh, Negeri Sembilan, masing-masing pada 25 dan 26 Jun, lalu.
Mahkamah Majistret Sepang sebelum ini membenarkan permohonan tahanan reman terhadap semua suspek selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebaik tempoh reman tamat 3 Julai lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan polis untuk menyambung tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek selama tujuh hari lagi bagi melengkapkan siasatan.
Penuntut wanita berusia 20 tahun dilaporkan hilang oleh ahli keluarga pada 23 Jun, sebelum ditemui tidak bernyawa di dalam unit kediaman pelajar di sebuah kondominium di Cyberjaya, keesokan harinya.
Difahamkan, kediaman itu adalah asrama yang disediakan oleh pihak universiti dan ketika kejadian, mangsa tinggal bersendirian selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun.
Hasil pemeriksaan awal polis mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk di unit kediaman mangsa.
Mangsa adalah penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di sebuah universiti swasta di Cyberjaya dan berasal dari Sarawak.
© New Straits Times Press (M) Bhd