Kes bunuh penuntut universiti: Nancy ucap takziah, KPT ingatkan IPT patuh SOP keselamatan pelajar

Kes bunuh penuntut universiti: Nancy ucap takziah, KPT ingatkan IPT patuh SOP keselamatan pelajar

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengucapkan takziah kepada waris keluarga mendiang Maniishapriet Kaur Akhara yang ditemui maut di asrama pelajar di Cyberjaya, pagi kelmarin.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong menerusi entri di laman Facebooknya hari ini, turut mendoakan keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat penuh dugaan itu.

Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera itu juga percaya dan berharap siasatan akan dijalankan dengan telus dan berintegriti agar keadilan dapat ditegakkan.

“Pagi ini saya berkesempatan menziarahi keluarga mangsa kejadian tragis di Mutiara Ville, Cyberjaya sebelum bertolak ke Putrajaya.

“Saya sempat meluangkan masa berbual dengan keluarga mangsa. Jenazah masih belum tiba dan sedang dalam perjalanan dari Hospital Serdang.

“Saya juga mendoakan agar segala urusan keluarga mangsa dipermudahkan, Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan semua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kebajikan pelajar yang ditetapkan universiti masing-masing.

KPT berkata, ia penting bagi memastikan tahap keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa berada pada tahap tertinggi.

“Sebagai langkah berterusan dalam memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan pelajar, KPT ingin mengingatkan semua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta supaya sentiasa mematuhi sop yang ditetapkan.

“Pematuhan itu penting bagi memastikan perlindungan menyeluruh terhadap pelajar yang berada di bawah tanggungjawab universiti,” katanya menerusi kenyataan berhubung penuntut sebuah universiti di yang ditemui meninggal dunia dipercayai akibat dibunuh dan disamun.

Hasil bedah siasat yanng dijalankan mendapati kematian wanita berusia 20 berbangsa Sikh yang berasal dari Sarawak itu disebabkan hentakan objek tumpul di bahagian kepala, selepas ditemui rakannya dalam unit kediamannya di Cyberjaya, pada 10 pagi.

Mangsa yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di sebuah universiti di Cyberjaya, tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.

Mangsa dijadualkan menghadapi peperiksaan pada hari dia ditemui mati, selain beberapa barangan berharga miliknya dilaporkan hilang, disyaki dilarikan suspek.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top