Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pegawai penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM8,000 semasa bertugas di kaunter ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perintah reman terhadap suspek selama lima hari hingga 29 Julai ini dikeluarkan oleh Majistret Zur Azureen Zainalkefli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 20-an itu telah ditahan kira-kira 3 petang semalam di tempat dia bertugas.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki menerima wang rasuah tersebut ketika sedang bertugas dan perbuatannya dikesan melalui pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menjumpai wang berjumlah kira-kira RM8,000 di dalam poket seluar suspek dan disyaki wang rasuah tersebut adalah hasil daripada kegiatan ‘counter setting’,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Selangor Khairul Izwan Karim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd