
BENGALURU: India hari ini melaporkan lebih daripada 300,000 kes baharu Covid-19 untuk hari ke-12 berturut-turut, yang membawa jumlah keseluruhan kesnya hampir mencecah 20 juta.
Dengan 368,147 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu, jangkitan India kini berjumlah 19.93 juta, dengan 218,959 kematian keseluruhannya, mengikut data kementerian kesihatannya.
Pakar berkata, jumlah sebenar di negara dengan 1.35 bilion penduduk itu malah mungkin lima hingga 10 kali ganda lebih tinggi daripada jumlah rasmi.
Hospital kini penuh manakala bekalan oksigen semakin kurang, dan rumah mayat serta tempat membakar mayat dibelenggu dalam pada negara itu berdepan lonjakan kes jangkitan.
Sekurang-kurangnya 11 negeri dan wilayah telah mengenakan sekatan pergerakan dalam usaha mengekang jangkitan, namun kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi tidak cenderung melaksanakan perintah berkurung besar-besaran kerana bimbangkan kesannya terhadap ekonomi.
“Pada saya hanya arahan berkurung di peringkat kebangsaan dan mengumumkan darurat perubatan saja caranya untuk menangani keadaan ini,” kata Bhramar Mukherjee, pakar epidemiologi di Universiti Michigan di Twitter.
“Jumlah kes aktif semakin meningkat, bukan saja kes harian baharu. Laporan mengatakan ada 3.5 juta kes aktif.”
Lonjakan jangkitan itu adalah krisis terbesar dihadapi India sejak Modi menjadi presiden pada 2014.
Modi dikritik kerana tidak mengambil langkah lebih pantas untuk mengekang penularan virus itu, selain membenarkan jutaan orang yang tidak memakai pelitup muka menghadiri acara keagamaan serta politik yang sesak di lima negeri pada Mac dan April.
Forum penasihat saintifik kerajaan pada awal Mac memberi amaran kepada kerajaan mengenai varian baharu dan lebih mudah berjangkit virus Korona di negara itu, kata lima saintis yang menganggotai forum itu kepada Reuters.
Cara Modi menangani krisis ini dilihat mungkin menjadi penanda aras sokongan terhadap partinya.
Pilihan raya umum seterusnya akan diadakan pada 2024. Parti Modi kalah dalam pilihan raya negeri di Bengal Barat, Ahad lalu, namun menang di Assam.
Pemimpin 13 parti pembangkang pada Ahad menandatangani surat menggesa Modi segera melancarkan program vaksinasi kebangsaan serta memastikan keutamaan bekalan oksigen kepada hospital dan pusat kesihatan.
Beberapa negeri telah menangguhkan kempen vaksinasi yang sepatutnya bermula Sabtu susulan kekurangan bekalan vaksin.




