Kes Covid-19 tinggi: DUN Selangor, Negeri Sembilan perlu segera bersidang – Utusan Digital

Kes Covid-19 tinggi: DUN Selangor, Negeri Sembilan perlu segera bersidang – Utusan Digital

SHAH ALAM:  Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Negeri Sembilan digesa bersidang segera bagi membincang dan menyelesaikan isu pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, kedua-dua DUN itu perlu berbuat demikian kerana negeri-negeri berkenaan masih mencatatkan kes jangkitan harian baharu  tertinggi di negara ini.

“Pemimpin kerajaan dua negeri ini perlu segera memanggil semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membincangkan dan memberi buah fikiran kepada kerajaan untuk mengurangkan jumlah kes harian Covid-19.

“Selain itu, ADUN boleh mendengar sendiri tindakan yang diambil oleh Exco kerajaan negeri bagi membantu rakyat terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menunjukkan sebanyak 5,738 kes jangkitan baharu Covid-19 dicatatkan di seluruh negara hari ini.

Daripada jumlah tersebut, Selangor dan Negeri Sembilan menjadi dua negeri yang mencatatkan kes tertinggi iaitu masing-masing 1,858 dan 1,086 kes baharu.

Dalam pada itu, Marina menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang meminta persidangan Parlimen dijalankan secepat mungkin.

Menurutnya, beliau bersama ahli Parlimen lain dapat menyuarakan suara rakyat tempat mereka secara formal kepada kerajaan berhubung kesusahan yang dihadapi mereka. – UTUSAN ONLINE 

Scroll to Top