Kes culik, bunuh: Teman wanita mangsa antara tiga lagi suspek direman

Kes culik, bunuh: Teman wanita mangsa antara tiga lagi suspek direman

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan tiga lagi suspek termasuk seorang wanita dalam siasatan kes melarikan seorang penganggur lelaki sebelum dibunuh dan mayatnya ditemui dalam sebuah kereta di tepi jalan Batu 14 Puchong, Subang Jaya pada 6 September lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, sebelum ini, polis telah menahan empat suspek lelaki berusia antara 27 hingga 35 tahun dalam empat serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang selepas disyaki bertanggungjawab melarikan mangsa dari kawasan kediamannya di Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Sungai Besi pada 3 September lalu.

“Suspek kelima yang diberkas adalah berusia lingkungan 40-an berjaya ditahan pada Jumaat minggu lalu manakala suspek keenam yang juga dipercayai teman wanita mangsa telah dicekup sehari kemudian iaitu pada Sabtu lalu.

“Manakala suspek ketujuh seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang bebas sejak kejadian dan telah diburu polis akhirnya berjaya diberkas dalam serbuan di Johor semalam (Ahad) bertindak atas maklumat dan risikan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zam Halim menambah, empat suspek pertama yang ditahan sebelum ini telah disambung reman semalam dan sedang direman sehingga 13 September ini.

“Manakala suspek kelima pula direman sehingga 12 September ini (Selasa). Selain itu suspek keenam iaitu wanita dan suspek ketujuh (lelaki) pula turut direman sehingga 13 September ini untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya.

Pada kejadian 3 September lalu, mangsa warga tempatan yang menganggur telah dilarikan empat lelaki sebelum bapa mangsa yang menyedari kehilangannya membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil pada awal pagi 4 September yang lalu.

Bertindak atas laporan bapa mangsa, polis telah membuat tangkapan ke atas empat suspek lelaki sebelum membawa kepada penemuan mayat mangsa culik itu dalam sebuah kereta Proton Gen2 pada awal pagi 6 September lalu.

Berdasarkan siasatan awal Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, kejadian dipercayai bermotif dendam akibat mangsa bersama teman wanitanya yang juga suspek keenam melarikan barang milik suspek utama

Setakat ini siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang manakala siasatan oleh Polis Kontinjen Selangor dijalankan mengikut Seksyen 302 kanun yang sama atas kesalahan membunuh.

Hasil laporan bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat mangsa di Hospital Serdang mendedahkan mangsa mengalami kecederaan patah rahang dan tulang rusuk serta retak pada bahagian tengkorak.- MalaysiaGazette

Scroll to Top