
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan ketara kes kecurian dalam pesawat dalam tempoh 12 hingga 18 bulan lalu. Gambar hiasan
SINGAPURA – Kes curi dalam kabin pesawat di Asia semakin meningkat disyaki didalangi kumpulan jenayah terancang, yang menaiki penerbangan transit singkat untuk mencuri barangan penumpang.
Memetik laporan Berita Harian Singapura, antara destinasi yang paling teruk terjejas ialah Hong Kong, dengan sebanyak 169 kes kecurian dalam penerbangan yang melibatkan barangan berharga bernilai HK$4.32 juta (RM2.33 juta) direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2024 – peningkatan sebanyak 75 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam temu bual bersama The Straits Times (ST), Komander Divisyen Polis Lapangan Terbang Singapura, Penolong Pesuruhjaya (AC) M Malathi berkata, kes kecurian dalam penerbangan adalah sukar dikesan dan disiasat kerana pelakunya menggunakan taktik licik.
Menurutnya, anggota sindiket biasanya beroperasi secara berpasangan dan menaiki penerbangan keluar dari Singapura sejurus tiba di Lapangan Terbang Changi.
“Mereka hanya mengambil sedikit wang tunai dan mungkin satu atau dua kad. Mereka tidak akan mengambil keseluruhan dompet anda, kerana itu lebih mudah dikesan.
“Tambahan pula, pihak berkuasa hanya mempunyai masa yang singkat untuk bertindak. Oleh itu, laporan yang dibuat dengan segera adalah penting bagi membolehkan pegawai kami mengesan suspek dengan pantas dan memintas mereka sebelum menaiki penerbangan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang mewakili kira-kira 300 syarikat penerbangan, menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan ketara kes kecurian dalam pesawat dalam tempoh 12 hingga 18 bulan lalu.
Menurut laporan, Malaysia turut mencatatkan peningkatan kes kecurian dalam pesawat, dengan 146 kes dilaporkan dalam tempoh 10 bulan pertama 2024, berbanding 88 kes pada tahun sebelumnya dan hanya 33 pada tahun 2022.
Pihak berkuasa di Vietnam pula memaklumkan bahawa penjenayah sering membeli tiket pada saat akhir, tidak membawa bagasi berdaftar dan kerap bertukar antara penerbangan domestik dan antarabangsa serta syarikat penerbangan yang berbeza bagi mengelak dikesan.
Dalam mesyuarat agungnya di India, IATA memaklumkan bahawa banyak kes kecurian dalam kabin pesawat dipercayai dirancang dari China.
Semakan oleh The Straits Times turut mendapati bahawa empat daripada lima individu yang didakwa atas kesalahan kecurian dalam kabin pada tahun 2025 adalah warga China.