Kes Epstein: Pendakwa raya UK kemuka nasihat siasatan awal terhadap Andrew, Mandelson

Kes Epstein: Pendakwa raya UK kemuka nasihat siasatan awal terhadap Andrew, Mandelson

London: Perkhidmatan Pendakwaan UK (CPS) mengesahkan pihaknya kini memberikan “nasihat siasatan awal” kepada polis berhubung siasatan terhadap Andrew Mountbatten-Windsor dan Peter Mandelson susulan kaitan mereka dengan Jeffrey Epstein, lapor PA Media/dpa.

Bekas Duke of York dan Mandelson, bekas Duta Besar UK ke Amerika Syarikat (AS) , ditahan bulan lalu atas syak wasangka salah laku dalam jawatan awam berkaitan hubungan mereka dengan pembiaya pedofil itu.

Mereka kemudiannya dibebaskan, sementara siasatan diteruskan.

“Kami mengesahkan yang kami kini memberikan nasihat awal siasatan kepada Metropolitan Police Service berhubung siasatan terhadap seorang lelaki berusia 72 tahun dan akan terus berhubung seperti yang diminta,” kata jurucakap CPS pada Rabu.

“Kami juga boleh mengesahkan yang kami memberikan nasihat awal siasatan kepada Thames Valley Police berkaitan seorang lelaki berusia 66 tahun.

“Kami kekal bersedia untuk menyokong sebarang siasatan jika diperlukan.”

Perkembangan ini berlaku selepas disahkan bahawa lawatan negara Raja Charles III ke AS untuk bertemu Donald Trump akan diteruskan bulan depan seperti dirancang.

Lawatan bersejarah yang dinanti-nantikan bersama Permaisuri Camilla dijadual berlangsung pada akhir April, walaupun terdapat gesaan supaya ia ditangguhkan atau dibatalkan susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Difahamkan bahawa Charles dan Camilla tidak dapat bertemu mangsa selagi siasatan polis UK berkaitan Epstein masih berjalan.

Ahli Kongres AS, Ro Khanna, menulis kepada raja pada Isnin menggesa supaya baginda bertemu mangsa secara peribadi semasa lawatan itu.

Dalam kenyataan kepada BBC “Newsnight” pada Selasa malam, keluarga Virginia Giuffre turut menggesa agar raja bertemu mereka serta mangsa lain.

Namun, dalam sidang media pada Rabu, Perdana Menteri Britain Keir Starmer, enggan menyatakan sama ada terdapat “asas moral” untuk raja bertemu mangsa apabila ditanya oleh wartawan.

Sebaliknya, beliau menegaskan yang “fokus lawatan” adalah sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS.

Majlis Ketua Polis Kebangsaan (NPCC) juga mengumumkan pada Selasa bahawa respons polis terhadap pendedahan dokumen yang dikenali sebagai “fail Epstein” oleh Jabatan Kehakiman AS akan dipertingkatkan.

Satu pasukan khas akan meneliti “skala, skop dan sifat” sebarang kemungkinan kesalahan berkaitan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan (VAWG) yang mungkin berlaku di UK berdasarkan fail itu, menurut NPCC.

Ia juga menjemput individu yang didakwa menjadi mangsa Epstein dan pernah bercakap kepada media UK untuk tampil memberi keterangan kepada penyiasat mengenai kemungkinan jenayah yang berlaku di Britain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top