Kes gaduh mulut antara anggota polis, penduduk Orang Asli selesai

Kes gaduh mulut antara anggota polis, penduduk Orang Asli selesai

am@hmetro.com.my

Kuantan: Kejadian pertengkaran mulut antara beberapa penduduk Orang Asli Kampung Arong di Pekan dan anggota polis berhubung isu tanah yang tular di media sosial sudah selesai.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, ia susulan beberapa penduduk kampung itu hadir ke Balai Polis Paloh Hinai, Pekan bagi memohon maaf, kelmarin,

Menurutnya, sebelum itu sepasukan anggota polis bersama Ketua Balai Polis Paloh Hinai meminta penduduk Orang Asli tidak menghalang pekerja sebuah kilang mengukur tanah untuk mendirikan bangunan.

“Beberapa penduduk kemudian membuat provokasi dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan ketika ketua balai polis dan anggota bertemu dengan mereka di kampung itu, Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, mereka datang ke Balai Polis Paloh Hinai pada Ahad lalu dan meminta maaf di atas apa yang berlaku dan kes selesai,” katannya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi lima minit 17 saat di media sosial berhubung pertengkaran mulut antara anggota polis dan beberapa penduduk Orang Asli Kampung Arong.

Ia dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati penduduk berhubung kerja pengukuran tanah bagi projek pembinaan kilang oleh sebuah syarikat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top