Kes gangguan seksual: PENGHANTAR sokong tindakan tegas MOT

Kes gangguan seksual: PENGHANTAR sokong tindakan tegas MOT

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) menyokong tindakan pantas Kementerian Pengangkutan (MOT) yang mengarahkan pembatalan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) terhadap pemandu e-hailing terbabit kes gangguan seksual seperti tular di media sosial, hari ini.

PENGHANTAR dalam kenyataan berkata, langkah tegas dan tidak berkompromi itu membuktikan komitmen kerajaan bahawa keselamatan serta maruah penumpang adalah keutamaan mutlak, selain memberi mesej jelas bahawa tiada ruang toleransi terhadap sebarang salah laku jenayah dalam industri e-hailing.

“Kami turut menyokong tindakan Grab Malaysia yang mengambil langkah segera selaras dengan polisi keselamatan platform berkenaan bagi memastikan kepercayaan orang awam terhadap perkhidmatan e-hailing terus terpelihara.

“Jika tidak ditangani secara tegas, perbuatan segelintir individu boleh memberi kesan besar kepada keseluruhan industri, ibarat nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya, hari ini.

PENGHANTAR juga menegaskan bahawa platform e-hailing seperti Grab melaksanakan proses saringan latar belakang yang ketat sebelum seseorang dibenarkan beroperasi sebagai pemandu

“Namun, salah laku individu terbabit mencemarkan reputasi industri serta menjejaskan mata pencarian pemandu lain yang berdisiplin dan jujur.

“Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan nama baik platform e-hailing, malah menjatuhkan maruah ratusan ribu pemandu lain yang mencari rezeki secara halal,” katanya.

Menurut PENGHANTAR, isu berkenaan tidak wajar digeneralisasikan terhadap keseluruhan komuniti pemandu e-hailing yang mematuhi undang-undang dan mengamalkan etika perkhidmatan tinggi.

“Sehubungan itu, persatuan menyokong penuh siasatan polis dan menggesa agar tindakan undang-undang diambil tanpa sebarang perlindungan atau kompromi terhadap pelaku.

“Pada masa sama, PENGHANTAR menyeru semua pemandu e-hailing supaya menjaga adab dan etika profesional, mematuhi undang-undang serta syarat lesen PSV, selain menyedari bahawa kesalahan seorang individu boleh memberi kesan besar kepada seluruh komuniti pemandu e-hailing,” katanya.

Terdahulu, MOT dilaporkan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan serta-merta Lesen PSV seorang pemandu e-hailing yang terbabit dalam insiden gangguan seksual terhadap penumpang di Johor.

Menteri Pengangkutan, Anthony Lok dipetik berkata, susulan tindakan pembatalan itu pemandu terbabit tidak boleh berkhidmat sebagai pemandu di semua platform e-hailing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top