am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Selepas teman lelaki, seorang wanita direman sehari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini disyaki menyembunyikan kelahiran dengan menggugur janin sebelum ditanam di kebun dan belakang rumahnya.
Perintah reman terhadap suspek berusia 25 tahun bermula hari ini dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 315 dan Seksyen 201 Kanun Keseksaan.
Suspek baru semalam keluar dari hospital selepas menerima rawatan akibat sakit belakang yang dipercayai kesan daripada tindakannya menggugur janin berusia 17 minggu.
Dalam kejadian itu, suspek bersama teman lelaki berusia 27 tahun yang sedang direman empat hari disyaki menggugur janin itu sebelum memintanya menanam.
Perbuatan itu terbongkar apabila suspek menceritakan kejadian sebenar kepada doktor yang merawatnya. Susulan itu, pihak hospital menghubungi polis bagi memaklumkan perkara ini.
Semalam polis membawa teman lelaki suspek ke dua lokasi yang disyaki janin itu ditanam di sebuah tanah rancangan di Kluang.
Turut sama, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bagi mengesan lokasi janin itu ditanam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




