Kes HRD Corp: SPRM syor penambahbaikan tatakelola, tutup ruang rasuah

Kes HRD Corp: SPRM syor penambahbaikan tatakelola, tutup ruang rasuah

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menjalankan penyiasatan tatakelola dalam amalan, sistem dan tatacara kerja Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) berhubung pengurusan levi dan pelaburan.

Selain penyiasatan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024, SPRM turut memberikan rundingan nasihat berhubung perkara itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, pembentangan penyiasatan tatakelola itu adalah proses menasihati ketua badan awam atau swasta melalui kaedah rundingan berkaitan cadangan penambahbaikan dalam amalan.

Beliau berkata, antara lain adalah penambahbaikan dalam sistem dan tatacara bagi menutup ruang atau peluang berlaku risiko serta jenayah rasuah selaras Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

“Kita (SPRM) bukan sahaja mencadangkan penambahbaikan sewajarnya, malah objektifnya juga bertujuan membantu mengenalpasti kelemahan yang ada.

“Saya amat berharap pihak Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan HRD Corp akan memberikan komitmen sebaiknya dalam melaksanakan cadangan penambahbaikan ini.

“Selain itu diharapkan dapat membantu HRD Corp memastikan tatakelola lebih baik dan mampan,” katanya berucap dalam sesi pembentangan penyiasatan tatakelola berhubung amalan, sistem dan tatacara pengurusan levi serta pelaburan Kesuma serta HRD Corp di sini, hari ini.

Laporan hasil pemeriksaan dan cadangan penambahbaikan tatakelola itu dibentangkan Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kesuma, Sutekno Ahmad Belon dan Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Sementara itu, Sutekno berkata, kementerian memandang serius setiap dapatan yang dibentangkan dan menyambut baik segala syor dikemukakan SPRM.

Katanya, pihaknya bertanggungjawab memastikan penambahbaikan yang disyorkan itu dilaksana dan dipantau setiap masa.

“Kesuma akan terus menyokong HRD Corp dalam merangka dan melaksana pelan tindakan penambahbaikan dengan penuh komitmen, selaras prinsip tadbir urus baik, ketelusan serta integriti yang menjadi teras kepada perkhidmatan awam,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, SPRM menyiasat HRD Corp susulan pendedahan dalam LKAN 2024 berikutan ada beberapa keputusan diambil agensi itu didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Sebelum itu, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan oleh program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai kegiatan pelaburan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 sebelum ini dilaporkan berkata, Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top