Kes jangkitan di India jangkaui 25 juta, siklon burukkan lagi krisis

Kes jangkitan di India jangkaui 25 juta, siklon burukkan lagi krisis

Seorang jururawat merawat pesakit di pusat jagaan Covid-19 percuma di New Delhi. (Gambar AP)

AHMEDABAD: Kes Covid-19 India menjangkaui 25 juta hari ini dalam pada negara itu turut berdepan siklon kuat yang lebih memburukkan lagi krisis di salah satu negeri yang paling teruk terkesan akibat penularan jangkitan.

Ujian Covid-19 dilakukan terhadap 200,000 orang yang dipindahkan dari kawasan pesisiran pantai di Gujarat, India barat, sebelum siklon melanda lewat semalam, manakala usaha kini turut dijalankan untuk mengekang sebarang penularan jangkitan.

“Pelitup muka diberikan kepada mereka yang berada di pusat perlindungan,” kata Sandip Sagale seorang pegawai kanan di Ahmedabad, ibu negeri Gujarat.

“Usaha juga dilakukan untuk memastikan penjarakan sosial.”

Jumlah jangkitan di keseluruhan India menjangkaui 25 juta dengan 263,533 kes baharu direkodkan dalam 24 jam lalu.

Kematian akibat Covid-19 juga meningkat kepada 4,329, jumlah tertinggi direkodkan setakat ini.

Walaupun jumlah rasmi menampakkan jangkitan baharu semakin berkurangan, masih wujud kebimbangan bahawa varian baharu yang amat mudah berjangkit, B.1.617 yang pertama kali ditemui di India, kini tidak terkawal malah tidak dilaporkan terutama di kawasan pedalaman, akibat kekurangan ujian saringan.

Sementara itu, siklon yang melanda turut menyukarkan usaha menangani jangkitan Covid-19 apabila proses vaksinasi digantung selama dua hari, manakala hospital menunggu untuk mendapat generator bagi memastikan bekalan elektrik dan oksigen tidak terputus.

Ketua Menteri Gujarat Vijay Rupani berkata pengeluaran dan pengedaran oksigen tidak terganggu.

Sementara itu, di negeri bersebelahan, Maharashtra yang dibadai siklon semalam, 1,000 kematian akibat virus korona direkodkan dalam semalam. Ia jumlah paling buruk direkodkan di negara itu.

Kadar jangkitan di Maharashtra meningkat 15% dalam dua minggu lalu, menurut data kerajaan.

Sejak 1 April, 269 doktor dilaporkan maut akibat Covid-19 termasuk 78 di Bihar, menurut Persatuan Perubatan India.

Scroll to Top