Kes kanak-kanak maut dipercayai terminum Methadone, siasatan tumpu aspek pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak

Kes kanak-kanak maut dipercayai terminum Methadone, siasatan tumpu aspek pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak

harisfadli@hmetro.com.my

Kajang: Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 membabitkan kematian seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dikatakan diberi cecair Methadone oleh ibunya di sini, hari ini.

Seksyen itu menggariskan kesalahan membabitkan kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua ibu bapa mangsa berusia 35 dan 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima maklumat daripada pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin pada 9.01 pagi berkaitan tiga kanak-kanak lelaki tempatan yang dibawa ke Jabatan Kecemasan.

“Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia ketika dibawa ke hospital, manakala dua lagi mangsa berusia 10 dan lima tahun berada di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala dua adiknya kritikal selepas dipercayai diberi minum cecair berbahaya oleh ibu kandung hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah kediaman di Sungai Ramal Baru, di sini, dengan tiga beradik itu dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa yang meninggal dunia berusia 11 tahun, manakala dua adiknya masing-masing berusia sembilan dan lima tahun dilaporkan dalam keadaan kritikal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top