am@hmetro.com.my
SEDAR atau tidak semakin ramai wanita dikesan menghidap kanser rahim atau endometrium di negara ini dan lebih membimbangkan ia membabitkan golongan muda.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Bedah Gine-Onkologi Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Shahzarul Fazril Lin berkata, berdasarkan laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (RKKM) bagi 2017-2021, nisbah jumlah pesakit kanser rahim meningkat kepada 127 orang daripada 100,000 wanita berbanding sebelum ini 101 per 100,000 orang wanita.
Menurutnya, kanser endometrium kini meningkat dari tangga ke enam kepada keempat atau 6.7 peratus daripada semua kanser dihidapi wanita kini, justeru golongan berisiko disaran melakukan pemeriksaan awal.
Dr Shahzarul Fazril berkata, kanser endometrium adalah satu ketumbuhan tidak normal pada lapisan endometrium di dalam rahim yang asalnya adalah ruangan untuk mengandung.
“Perubahan dalam dinding endometrium ini disebabkan oleh rangsangan hormon estrogen tinggi hingga berlaku mutasi dan penebalan yang berterusan.
“Antara faktor meningkatkan risiko wanita menghidapi kanser ini disebabkan obesiti, merokok, diabetes, masalah infertiliti (kesukaran hamil), tidak pernah mengandung, penghidap polycystic ovarian syndrome (PCOS) dan wanita lewat usia menopaus.
Dr Shahzarul Fazril berkata, obesiti menyebabkan peningkatan aktiviti aromatase tisu lemak, yang akan meningkatkan penukaran hormon androgen ke estrogen dan secara langsung menggalakkan percambahan lapisan endometrium.
“Bagi golongan wanita yang menghidap PCOS, pengeluaran berlebihan estrogen dan androgen akan menyebabkan kitaran haid tidak teratur, ketidaksuburan, pertumbuhan rambut berlebihan, jerawat dan penambahan berat badan.
“Selain itu faktor lain menyebabkan masalah kanser endometrium adalah awal datang haid dan lambat menopaus serta tidak pernah mengandung.
“Penyakit diabetes, darah tinggi serta pola pemakanan tidak teratur hingga menjadi obes atau penyakit metabolik boleh mengakibatkan perubahan hormon dan menyumbang kepada ketumbuhan kanser rahim,” katanya.
Beliau berkata, faktor genetik keturunan seperti ‘Sindrom Lynch’ dan mutasi genetik (PTEN gene) turut menyumbang kepada kanser endometrium.
Mengulas lanjut, Dr Shahzarul Fazril berkata, kebanyakan wanita dikesan menghidap kanser endometrium pada tahap pertama dan tahap kedua kerana gejala muncul awal.
“Mengikut stastistik RKKM 2017-2021, satu dalam 127 orang wanita berkemungkinan mendapat kanser rahim dan wanita kalangan berusia 65 hingga 69 tahun merupakan yang tertinggi.
“Tapi, peningkatannya ketara bermula pada wanita lebih muda berusia 45 tahun yang masih produktif bekerja berbanding sebelum ini banyak pada wanita berusia 60-an dan sudah menopaus.
“Justeru, wanita harus berwaspada dengan gejala penyakit ini dan mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan untuk mendapat rawatan tepat,” katanya.
Dr Shahzarul Fazril berkata, antara gejala kanser endometrium termasuk pendarahan tidak normal dan berpanjangan ketika haid atau di luar polanya, sakit pada bahagian pinggang tanpa diketahui puncanya, kehilangan berat badan, perasaan rasa penuh dan cepat puas ketika makan.
“Kadang kala didapati ada juga wanita mengalami perubahan pola berkemih membuang air kecil dan besar.
“Sebab itu penting untuk pengesanan awal penyakit yang mana rawatannya tidak berat dan boleh diterima berbanding jika lewat dikesan,” katanya.
Sementara itu, beliau menyarankan beberapa langkah termasuk amalan hidup sihat bagi mencegah kanser melalui pemakanan dan nutrisi yang baik, mengawal berat badan dan bersenam serta berhenti merokok.
“Selain itu, golongan berisiko disaran melakukan pemeriksaan tahunan untuk mengetahui jika menghidap penyakit kronik,” katanya.
Ditanya jangka hayat atau peluang untuk penyembuhan pesakit kanser rahim, beliau berkata ia bergantung kepada tahap kanser dihidapi.
“Kadar survival (jangka hayat) untuk kanser tahap I adalah setinggi 95 peratus tapi kebarangkalian untuk bertahan selama lima tahun bagi kanser tahap II hingga IV berkurang
(18-70 peratus)” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




