am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kes kebakaran membabitkan premis menjual mercun dan bunga api menunjukkan peningkatan ketara pada tahun lalu apabila merekodkan sebanyak 113 kes berbanding 19 kes pada 2024 di seluruh negara.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, bagi tahun ini, sebanyak tujuh kes dilaporkan sehingga Februari lalu.
“Johor (32 kes), Terengganu (29 kes) dan Perak (23 kes) mencatatkan jumlah kebakaran berpunca daripada mercun atau bunga api paling tinggi pada tahun lalu.
“Pada tahun ini kes tujuh kes direkodkan membabitkan dua kes masing-masing di Johor dan Pulau Pinang, manakala masing-masing satu kes di Kedah, Kuala Lumpur dan Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini.
Katanya, biarpun permit penjualan dikawal pihak berkuasa, namun JBPM memainkan peranan dalam aspek pencegahan kebakaran dan keselamatan dengan memberi nasihat teknikal keselamatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau peniaga jika diperlukan.
“Selain itu, kami menjalankan pemeriksaan keselamatan kebakaran di premis tertentu, terbabit dalam pemantauan bersepadu bersama agensi lain semasa musim perayaan, menyampaikan advokasi dan kempen kesedaran kepada peniaga serta orang awam.
Beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika bermain mercun dan bunga api bagi mengelakkan kebakaran terutama pada musim perayaan ini.
Menurutnya, antara langkah boleh diambil dengan menggunakan mercun di kawasan lapang dan selamat, menyediakan air atau alat pemadam api dan memastikan mercun sudah padam sepenuhnya sebelum ditinggalkan.
“Selain itu jangan membakar mercun berhampiran bahan mudah terbakar, sisa mercun dibuang dengan betul (rendam dalam air dahulu) dan sentiasa peka dan bertindak cepat jika berlaku percikan api atau kebakaran kecil,” katanya.
Nor Hisham berkata, peniaga dinasihatkan supaya menjual mercun yang dibenarkan dan mempunyai permit sah selain menyimpan bekalan di tempat kering, jauh dari sumber haba atau api, menyediakan alat pemadam api dan tahu cara menggunakannya serta mengelakkan penyimpanan bekalan berlebihan di ruang sempit dan mematuhi garis panduan keselamatan ditetapkan.
Katanya, orang ramai juga disaran membeli mercun daripada penjual sah, menggunakannya di kawasan terbuka dan jauh dari rumah atau kenderaan selain sentiasa mengawasi kanak-kanak ketika bermain mercun.
Menurutnya, selain itu turut diingatkan supaya tidak mengubah suai mercun atau cuba membuatnya sendiri dan mengelakkan bermain mercun ketika cuaca kering atau berangin kuat.
Antara kes kebakaran membabitkan mercun:
22 Mac 2026: Sebuah gerai menjual mercun di Taman Pekaka, Georgetown di Pulau Pinang musnah dalam kebakaran.
13 Mac 2026: Sebuah kabin yang dijadikan tempat simpanan mercun musnah dalam kebakaran di Kampung Gong Limau, Kemaman di Terengganu.
Dalam kejadian awal pagi itu, sebuah kanopi yang dijadikan tempat menjual mercun itu turut musnah dijilat api.
11 Februari 2025: Lima kenderaan musnah selepas sebuah gerai menjual mercun terbakar di Jalan Dataran Cheras 6, Dataran Perniagaan Cheras, Kuala Lumpur.
2 April 2025: Gerai menjual mercun terbakar mengakibatkan seorang parah dan tiga cedera ringan mempunyai lesen yang sah di Kampung Batu 39, Sabak Bernam di Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd



