Kes kebakaran terbuka meningkat di Johor

JOHOR BAHRU: Aduan dan laporan kes kebakaran terbuka di negeri ini meningkat sejak pertengahan bulan lalu ekoran cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan.

Beliau berkata, rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mendapati beberapa kawasan tanah gambut di kawasan seperti di daerah Muar, Kota Tinggi, Pontian dan Gelang Patah, di sini, mula terbakar dalam tempoh itu.

“Antara langkah sedang dilakukan bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering ketika ini termasuk mengaktifkan serta meningkatkan aktiviti rondaan darat dan dron bagi tujuan pemantauan serta penguatkuasaan, terutama di kawasan dikenal pasti mudah terbakar.

“Pelaksanaan tindakan mahkamah turut dilakukan bagi kes pembakaran terbuka di kawasan tapak binaan, industri dan ladang, manakala bagi kes pembakaran terbuka yang kecil akan dikenakan kompaun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, langkah lain bagi memastikan pembakaran dilakukan adalah aktiviti yang diisytiharkan mematuhi syarat ditetapkan mengikut Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Diisytiharkan) (Pembakaran Terbuka) 2003, selain mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan ke atas pelepasan daripada kenderaan bermotor.

Beliau berkata, kerajaan negeri pada masa sama, turut mengaktifkan kempen kesedaran khususnya melalui radio tempatan, bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengupayakan pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran, bagi membantu memantau kes pembakaran terbuka.

“Melakukan pembakaran terbuka adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Jika sabit kesalahan, individu yang melakukan pembakaran terbuka atau pemilik tanah boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd