Kes kelima orang meninggal dunia dalam rumah berkunci

Kes kelima orang meninggal dunia dalam rumah berkunci

am@hmetro.com.my

Bayan Lepas: Lelaki berusia 53 tahun ditemukan meninggal dunia dalam unit pangsapuri berkunci di Changkat Mayang Pasir di sini, hari ini.

Ia kes kelima diterima pasukan bomba pada bulan ini bagi bantuan membuka kunci dan mengeluarkan mayat mangsa.

Pasukan bomba dipanggil bagi membantu membuka kunci dan menurunkan mangsa dari tingkat tiga pangsapuri berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, dalam kes itu, pihaknya menerima panggilan pada 4.36 petang

Katanya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau diketuai Wan Mohd Faizal Wan Mohd Zin bergegas ke lokasi dan maklumat awal mengatakan terdapat mangsa terperangkap dalam rumah di aras tiga pangsapuri itu.

“Pasukan penyelamat bertindak membuka pintu menggunakan peralatan khas dan mangsa ditemuikan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, pemeriksaan oleh pasukan kesihatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini sepanjang Julai, media melaporkan JBPM negeri menerima sebanyak empat panggilan bagi tugas khas membuka pintu rumah berkunci di sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya dengan penghuninya meninggal dunia.

Kejadian pertama di Mount Erskine, Tanjung Tokong pada 16 Julai membabitkan penemuan jasad warga emas berumur 79 tahun, diikuti penemuan mayat lelaki dalam rumah berkunci di Flat PPR Jalan Sungai Pinang, sehari kemudian.

Kejadian ketiga membabitkan wanita warga emas berusia 61 tahun yang ditemukan meninggal dunia di pangsapuri di Taman Terubong Indah, Ayer Itam pada 18 Julai, manakala pada 25 Julai, bomba turut dipanggil untuk membuka flat berdekatan Lebuhraya Thean Teik yang membawa kepada penemuan mayat lelaki 50-an.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top