am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Data Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menunjukkan kadar kematian mangsa kebakaran yang berlindung di bilik air membabitkan kawasan kediaman pembangunan strata termasuk di Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu kota terus meningkat dengan tiga kematian pada 2024 dan lima maut pada tahun lalu.
Perkembangan itu menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh adalah isyarat bahawa pentingnya kesedaran ditingkatkan memandangkan masih ramai masyarakat berpandangan tandas adalah ruang selamat ketika berlaku kebakaran.
Sebaliknya, ahli Parlimen Segambut itu berkata, tanggapan itu salah kerana dalam situasi kritikal sedemikian, tandas menjadi ruang dalam kediaman yang paling berbahaya.
“Kita nak ingatkan masyarakat bahawa tandas bukan tempat selamat ketika kebakaran. Ini kerana pertama, tiada laluan keluar, pengudaraan juga terhad menyebabkan asap cepat berkumpul, paras oksigen menurun dengan pantas selain mangsa berisiko mengalami sesak nafas serta lemas akibat asap.
“Malah, kebanyakan mangsa kebakaran sebenarnya meninggal dunia akibat terhidu asap, bukan kerana melecur.
“Ia disebabkan pengudaraan terhad, asap tebal boleh masuk dengan cepat melalui celah pintu atau ruang pengudaraan dan memenuhi ruang (tandas) dalam masa singkat, menyebabkan mangsa boleh pengsan dalam beberapa minit sahaja,” katanya pada Sidang Media Mengenai Pengukuhan Kesedaran Keselamatan di Bangunan Strata Berketumpatan Tinggi di Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat JBPM Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Hassan ‘Asári Omar.
Sementara itu, Hassan ‘As’ari yang memberikan perincian mengenai kes kebakaran membabitkan mangsa ditemui di bilik air, memaklumkan, antara kes direkodkan pada tahun lalu, membabitkan kejadian kebakaran di Flat Sentul Utama, Jalan Dato Senu, dengan masing-masing seorang lelaki dan wanita maut, selain seorang mangsa meninggal dunia di Pangsapuri Residensi Enesta.
Dalam perkembangan berkaitan trend kebakaran di kediaman strata yang tinggi termasuk flat, kondominium dan PPR, Hannah berkata, ia menunjukkan trend membimbangkan sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Katanya, pada 2023, sebanyak 86 kes, dan kemudian meningkat kepada 75 kes pada 2024 dan pada tahun lalu, 86 kes direkodkan.
“Trend ini menunjukkan betapa pentingnya usaha memperkukuh kesedaran keselamatan kebakaran serta tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dalam kalangan pihak pengurusan bangunan dan penduduk.
“Sehubungan itu, antara usaha dijalankan Jabatan Wilayah Persekutuan bersama JBPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah pertama, memastikan penyelenggaraan sistem keselamatan secara berkala.
“Ini melalui kerjasama semua badan pengurusan bangunan termasuk badan pengurusan bersama (JBM) dan perbadanan pengurusan (MC). Mereka perlu memastikan sistem pencegahan kebakaran, peralatan keselamatan serta proses evakuasi sentiasa dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna,” katanya yang turut menegaskan peranan penduduk juga diperlukan khususnya mengingatkan JMB dan MC bagi memastikan penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran dilaksanakan secara berkala.
Pada majlis sama, Hannah turut menyalurkan geran sebanyak RM50,000 bagi membantu JBPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi pembelian peralatan tambahan dalam usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan operasi mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd



