am@hmetro.com.my
Klang: Dua individu termasuk seorang wanita yang dijangka akan didakwa berkaitan insiden kematian seekor anjing dalam operasi tangkapan anjing liar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) baru-baru ini, tiba di Mahkamah Klang, pagi hari ini.
Wanita berkenaan yang memakai baju berwarna merah jambu tiba di pekarangan mahkamah pada 8.38 pagi, manakala seorang lagi individu yang memakai kemeja putih tiba pada 8.44 pagi.
Kedua individu berkenaan dilihat tiba bersama keluarga dan peguam masing-masing.
Seramai 50 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan ditugaskan berkawal di kompleks mahkamah, di sini, menjelang pertuduhan terhadap dua individu yang dikaitkan dengan penangkapan anjing berkenaan.
Bagi memastikan ketenteraman awam, satu pintu masuk ke kompleks mahkamah ditutup dan hanya individu yang mempunyai urusan berkaitan mahkamah dibenarkan masuk.
Hanya pengamal media yang mempunyai pas sah dibenarkan memasuki dewan mahkamah.
Media melaporkan berdasarkan sistem kehakiman, pertuduhan terhadap kedua individu itu akan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Selain itu, wanita berkenaan berdepan pertuduhan lain di hadapan Majistret A Karthiyayini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

