Kes keracunan makanan turun 28.9 peratus – KKM

Kes keracunan makanan turun 28.9 peratus – KKM

am@hmetro.com.my

Batu Kawan: Kementerian Kesihatan (KKM) komited memperkasa kawalan keselamatan makanan selepas merekodkan penurunan 28.9 peratus kes keracunan makanan di seluruh negara tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan rekod dari Januari hingga 6 September lalu, sejumlah 12,821 kes dilaporkan berbanding 18,034 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, meskipun penurunan itu menunjukkan keberkesanan langkah pencegahan yang dilaksanakan, beliau menggesa masyarakat terutama pengendali makanan meningkatkan tahap kewaspadaan.

Katanya, peringatan itu penting terutama pada musim cuti sekolah yang menyaksikan majlis keraian seperti kenduri perkahwinan lebih kerap diadakan berbanding hari biasa.

Beliau memaklumkan, pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-36, iaitu dari 31 Ogos hingga 6 September, sebanyak 12 wabak keracunan makanan direkodkan di seluruh negara berbanding 15 wabak pada ME35.

“Justeru saya ingin menekankan, musim beginilah kes keracunan makanan kerap berlaku ketika orang ramai bercuti, makan di luar atau menghadiri kenduri. Jadi kita berharap trend penurunan ini dapat dikekalkan.

“Saya juga mengingatkan pengendali yang menguruskan penyediaan makanan menjaga kebersihan bagi mengelakkan risiko keracunan makanan terutama berpunca daripada bakteria seperti Salmonella atau melibatkan jenis masakan tertentu,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan acara Apron Walk di sini, hari ini.

Menurutnya, strategi dilaksanakan KKM bagi mengekang isu keracunan makanan termasuk meliputi aktiviti advokasi pendidikan kesihatan bersifat santai dan informatif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Beliau menegaskan, program intervensi sedemikian wajar dilaksanakan memandangkan beban kos tahunan di seluruh dunia untuk rawatan penyakit bawaan makanan dianggarkan mencecah AS$15 bilion (RM70.5 bilion) setahun.

Katanya, antara usaha KKM yang lain adalah pelaksanaan program pengiktirafan Bersih, Selamat, Sihat (BeSS) yang mana sebanyak 14,509 premis makanan di seluruh negara telah menerima pengiktirafan itu setakat Jun 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top