Kes kesalahan ingkar SOP PKP menurun – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Kes ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, merekodkan jumlah dua angka, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dalam operasi pematuhan semalam, seramai 41 individu ditahan atas pelbagai kesalahan, sekali gus menunjukkan orang ramai mulai patuh kepada SOP.

Katanya, dari jumlah itu, 28 dikenakan kompaun, manakala 13 individu lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan seramai 24 orang, tidak memakai pelitup muka (tujuh), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (lima), tiada penjarakan fizikal (dua) dan lain-lain kes (tiga).

Mengenai Operasi Benteng pula, pihak berkuasa telah menangkap sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 96 bot/kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.

“Manakala seramai enam PATI turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Berhubung operasi sanitasi awam, Ismail Sabri menjelaskan, sebanyak 61 operasi dilakukan meliputi 19 zon merah, 10 zon jingga, 12 zon kuning dan empat zon hijau di seluruh negara, semalam.

Operasi itu, katanya, melibatkan 281 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 220 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 54 jentera JBPM.

“Secara kumulatifnya, sebanyak 19,456 operasi sanitasi yang merangkumi 151 zon telah dilakukan sejak 30 Mac 2020.

“Operasi ini melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk PPR, tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan,” kata beliau. – MalaysiaGazette