Kes Kluster Pendidikan, saringan dibuat jika ada keperluan [METROTV]

Kes Kluster Pendidikan, saringan dibuat jika ada keperluan [METROTV]

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Kementerian Pendidikan belum membuat sebarang ketetapan bagi melaksanakan saringan berikutan peningkatan kes Covid-19 yang membabitkan 11 kluster di seluruh negara setakat ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera jika ada keperluan, bagaimanapun keadaan terkawal setakat ini.

“Jika ada keperluan ya (melaksanakan saringan)..maknanya kita akan mendapatkan nasihat dari masa ke semasa daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini tidak ada (ketetapan untuk laksana saringan) tetapi kita ambil pendekatan untuk berjaga-jaga sekiranya ada keperluan.

“Kita juga bergantung kepada tahap serius dan kes penularan ini peringkat mana dan kita akan ambil tindakan itu dengan segera,” katanya ketika diminta mengulas saranan Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah agar meningkatkan aspek kesihatan, termasuk kepentingan menjalani saringan berhubung perkara itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Selangor di Glenmarie Hotel & Golf Resort, di sini hari ini

Fadhlina berkata, setakat ini pihaknya memantau rapat dengan KKM selain menyediakan beberapa pelan intervensi sekiranya berlaku apa-apa kes termasuk isolasi dan memperingatkan guru serta murid peningkatan wabak Covid-19 ini.

“Semua sudah ada pengalaman, jadi kebanyakannya kes-kes ini dapat ditangani dengan baik khususnya di peringkat sekolah.

“Saringan ini kita boleh peringatkan daripada rumah lagi, tidak semestinya di sekolah..maknanya ibu bapa kena pastikan kesihatan (anak), apabila ada tanda-tanda anak tidak sihat, jangan benarkan anak ke sekolah.

“Tahap keseriusan (kluster) terkawal, maksudnya tiada apa-apa isu besar kerana KKM dan KPM sama-sama memantau ..jadi kita dapat atasi isu itu daripada penularan lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut ditanya mengenai kebimbangan peningkatan penularan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita minta semua ambil serius mengenai isu ini sebab ini bukan wabak yang kita tidak pernah harungi..kita sudah tahu bagaimana ia tersebar , bagaimana ia boleh dihentikan dan sebagainya..

“Jadi kita minta semua pihak untuk mengawal dan mengambil perhatian terhadap isu kesihatan masing-masing semasa tempoh hari raya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kes Covid-19 meningkat mendadak, dengan 11 kluster pendidikan dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ketiga belas 2023 (ME13/2023), dari 26 Mac hingga 1 April lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top