Kes komando parah: 11 individu diambil keterangan

Kes komando parah: 11 individu diambil keterangan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis sudah mengambil keterangan 11 individu susulan kes anggota komando tentera yang parah termasuk retak tengkorak dalam kejadian di Kem Iskandar, Mersing pada Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, keterangan kesemua individu itu diambil bagi membantu siasatan pihaknya.

“Seramai 11 saksi telah direkodkan (keterangan) terdiri daripada ahli keluarga mangsa, pegawai atasan mangsa, doktor yang merawat mangsa dan rakan sekerja mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ab Rahaman berkata, kedua-dua suspek berusia 24 tahun dari kem sama yang ditahan pada 14 Mac lalu sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tahanan reman selama 4 hari.

“Kedua-dua suspek telah diserahkan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas dijamin polis,” katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang anggota tentera, Abdul Hamid Talib, 25, bertugas di Rejimen 22 Komando, Kem Iskandar cedera parah ketika berada di kem berkenaan pada 12 Mac lalu.

Mangsa yang berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah kini tidak mampu bercakap serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan menerima nutrisi melalui tiub susulan kecederaan serius di bahagian kepala.

Susulan itu dua anggota tentera ditahan pada hari sama laporan diterima untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Polis turut merampas sebatang rotan sepanjang 72 sentimeter yang disyaki digunakan sebagai senjata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top