Susulan melakukan lima pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai 2022, hari ini pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) memklumkan telah menolak salah satu representasi yang dikemukakan penceramah selebriti, PU Azman.
Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi berkata, representasi membabitkan mangsa lelaki berusia 17 tahun ditolak AGC dan akan diteruskan untuk perbicaraan dengan pertuduhan asal.
Manakala, representasi bagi mangsa lelaki berusia 16 tahun sudah diterima.
Namun, peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah yang mewakili PU Azman atau nama penuhnya, Azman Syah Alias, 43, memaklumkan bahawa kes akan disebut semula pada 17 Dismeber depan.

Mengulas lanjut mengenai keadaan terkini PU Azman, Mohamad Zahid berkata, anak guamannya itu berada dalam keadaan baik.
Bahkan, sudah menghafal satu juzuk al-Quran sepanjang ditahan di Penjara Kajang.
“Alhamdulillah dia okay di Penjara Kajang. Dan hikmah di sebaliknya dia maklumkan sudah hafal satu juzuk al-Quran di sana.
“PU Azman pesan supaya doakan dia,” katanya.
Terdahulu, PU Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.
Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Julai 2022.
Pada 27 September, Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.
Sumber: Harian Metro




