farid_noh@bh.com.my
Iskandar Puteri: Bapa yang membuat laporan anaknya hilang ketika ditinggalkan sebentar dalam kereta untuk membeli makanan minggu lalu, kini direman tujuh hari selepas polis menemukan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu membuatkan laporan mengenai kehilangan anak lelakinya yang berusia enam tahun pada 2.15 pagi Khamis lalu.
“Dalam laporan dibuat bapa terbabit, dia mendakwa anaknya yang juga anak tunggal itu hilang sekitar 6 petang, Rabu lalu.
“Dia mendakwa mangsa hilang semasa ditinggalkan seorang diri di dalam kereta yang di parkir di kawasan berkenaan untuk membeli makanan.
“Namun tangkapan ke atas bapa kepada kanak-kanak yang hilang itu dibuat Khamis lalu, pada 12.20 tengah hari, di perkarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Iskandar Puteri, untuk siasatan lanjut.
“Lelaki terbabit kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tempoh tujuh hari sejak Jumaat lalu sehingga 31 Julai (Khamis),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Malam tadi, Polis Negeri Sembilan dilaporkan menemukan mayat kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, di sini, pada 24 Julai lalu, ditanam di kawasan Rompin, Jempol, petang semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan berkata, mayat kanak-kanak itu ditemukan susulan penahanan bapa kanak-kanak itu oleh Polis Johor.
© New Straits Times Press (M) Bhd