am@hmetro.com.my
Kuantan: Polis membawa lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang wanita pada Khamis lalu, ke lokasi kejadian di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.
Suspek berusia 53 tahun itu tiba di lokasi kejadian dengan menaiki kereta polis serta diiringi beberapa kenderaan polis dengan memakai baju lokap berwarna jingga pada jam 2.30 petang.
Suspek turut memakai pelitup muka dengan kedua-dua tangannya digari dan berada di sekitar lokasi itu sebelum beredar pada jam 4 petang.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, lelaki terbabit dibawa ke lokasi kejadian untuk membantu siasatan kes bunuh itu.
“Pada masa sama, polis berusaha mendapatkan bahan bukti lain di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, suspek ditahan di sebuah rumah di Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira jam 5.30 pagi.
Turut dirampas bersama suspek ialah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan mayat peniaga wanita, Norshamira Zainal, 37, ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur.
Susulan itu, sepasukan polis bersama pakar patologi forensik daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan mendapati ada unsur jenayah pada tubuh peniaga makanan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




