mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dipanggil membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa membabitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan suami.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, beliau bersama ahli jawatankuasa MHO Azirul Shafiq dipanggil membantu siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kami akan hadir ke Pejabat Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) pada 9.30 pagi esok,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Harian Metro hari ini melaporkan PDRM mengesan beberapa penulis artikel dari negara jiran, Indonesia untuk membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa membabitkan Mashitah dan suami.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis juga masih mengesan seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang didakwa terbabit dalam jenayah itu, untuk diambil keterangan.
Dalam pada itu, baru-baru ini Hishamuddin dilaporkan berkata, modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai scammer penipuan judi secara dalam talian.
Beliau turut mengulas mengenai video tular di media sosial mengenai pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk ‘Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia’ yang diterbitkan di Indonesia.
“Terdapat ramai dalam kalangan rakyat Indonesia yang menjadi mangsa sindiket ini dan secara terang-terangan,” katanya yang turut menyatakan sindiket berkenaan aktif sejak Mac 2020.
Khamis lalu, Mashitah menafikan terbabit dalam aktiviti sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar seperti yang dilaporkan media semalam.
Menurutnya, maklumat berkenaan dikutip daripada media picisan di Indonesia dan beliau sudah membuat laporan serta memberi keterangan di Bukit Aman semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




