am@hmetro.com.my
Marang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyerahkan kepada kebijaksanaan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk proses selanjutnya bagi kes laporan palsu kehilangan pempengaruh permotoran di Sungai Tui, Bukit Kepong, 14 Julai lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya juga menghormati keputusan dibuat Mahkamah Majistret Muar pada 25 Julai lalu yang menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 terhadap pempengaruh permotoran dan adiknya iaitu Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan Tengku Abdul Aziz berkait kes berkenaan.
Katanya, JBPM tidak menolak wujud kes panggilan palsu, namun situasinya berbeza dalam kes Tengku Nizaruddin atau dikenali Ija yang mana dilayani seperti kes benar dengan pelbagai aset dan keanggotaan digerakkan.
“Bagi panggilan palsu, kami datang ke lokasi dan apabila mengetahui ia adalah panggilan palsu, kita akan pulang, namun kes ini kami menjalankan operasi seperti kes itu wujud.
“Situasi berkenaan amat berbeza dengan panggilan-panggilan palsu lain yang kami terima dan tangani sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan National Firefighter Drill 2025 JBPM di Akademi JBPM Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, perbuatan tidak bertanggungjawab itu amat dikesali, bahkan pihaknya akui sedikit kecewa apabila hukuman dikenakan terlalu ringan berbanding impak yang ditanggung, tetapi tetap menghormati mahkamah.
Pada 25 Julai lalu, Majistret Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 masing-masing kepada Tengku Nizaruddin, 38, dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30.
Tengku Abdul Aziz mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam, manakala Tengku Nizaruddin mengaku bersalah bersubahat memberi maklumat palsu kepada penjawat awam mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 182 kanun sama.
Bagaimanapun, AGC semalam dilapor sudah memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada pempengaruh permotoran dan adiknya itu.
Sebelum itu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dipetik berkata, pihaknya akan meneliti semula keputusan mahkamah berhubung kes terbabit namun tidak memperincikan lanjut.
Berita berkaitan
- Jabatan Peguam teliti semula keputusan mahkamah terhadap Ija & adik
- ‘Dia buat kami marah, kecewa’ – Rakan pempengaruh
- Pempengaruh reka cerita, sebenarnya lari ke negara jiran – Polis
- SAR Ija dihentikan, tiada petunjuk baru
- Kami harap ada keajaiban untuk Ija
- Pempengaruh hilang: Polis rekod keterangan isteri, adik lelaki
- Pempengaruh hilang: Pencarian Ija diperluas sehingga 10 KM
- ‘Abang saya belum sahih meninggal dunia’ – Adik pempengaruh
© New Straits Times Press (M) Bhd