Kes penipuan di Melaka serius, golongan profesional jadi sasaran

Kes penipuan di Melaka serius, golongan profesional jadi sasaran

am@hmetro.com.my

Melaka: Aktiviti penipuan dalam talian di Melaka berada pada tahap membimbangkan apabila 1,976 kes direkodkan dari Januari hingga 15 Disember lalu membabitkan kerugian hampir RM66 juta.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halim berkata, angka itu menunjukkan peningkatan ketara dan kini bukan lagi hanya menyasarkan orang awam malah golongan profesional.

“Sehingga tempoh berkenaan, 1,229 tangkapan dilakukan dengan 740 pertuduhan difailkan, namun jumlah kes masih mencatat trend menaik.

“Apa yang membimbangkan, mangsa kini terdiri daripada golongan berpendidikan dan berpendapatan tinggi seperti doktor, peguam, pegawai bank, penjawat awam dan guru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Tanggungjawab Sosial Korporat SWM Environment, SWM Kasih kembali ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Korporat SWM Enviroment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Mohd Noor Helmy berkata, sindiket penipuan biasanya memerangkap mangsa secara berperingkat bermula dengan bayaran kecil sebelum dipujuk membuat transaksi lebih besar.

Katanya, antara taktik dikesan termasuk skim pelaburan palsu, penipuan cinta, tawaran hadiah percuma serta pinjaman dalam talian.

“Terdapat kes membabitkan pelajar sekolah yang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit selepas menggunakan wang simpanan sendiri, kad debit ibu bapa dan barang kemas keluarga,” katanya.

Beliau berkata, mangsa lazimnya bermula dengan bayaran serendah RM10 atau RM100 sebelum dipengaruhi membuat bayaran ribuan ringgit kononnya bagi menyelamatkan pelaburan.

“Apabila terdesak, mangsa turut ditawarkan pinjaman dalam talian atau khidmat peguam palsu hingga terperangkap dalam rantaian penipuan berpanjangan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyambut baik langkah mewajibkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia berdaftar sebagai pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kelas (ASP(C)) bermula 1 Januari depan.

“Langkah itu bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya bagi mengekang penipuan, berita palsu serta kandungan fitnah yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Pada program itu, seramai 50 murid sekolah diraikan dan diberikan sumbangan persekolahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top