Kes penuntut UMS keluarkan ucapan menghasut dirujuk kepada TPR

Kes penuntut UMS keluarkan ucapan menghasut dirujuk kepada TPR

am@hmetro.com.my

Tawau: Polis akan merujuk kertas siasatan kes penuntut universiti yang dipercayai mengeluarkan ucapan berbaur hasutan ketika Himpunan Solidarity Justice For Zara di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, Ahad lalu, ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) selewat-lewatnya minggu depan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya juga mencadangkan wanita berusia 23 tahun itu dituduh mengikut peruntukan undang-undang dan akta berkaitan.

Beliau berkata, rakaman percakapan serta tindakan lanjut diambil daripada suspek dan dia dibebaskan dengan jaminan polis.

“Sehingga kini, polis menerima 28 laporan daripada orang awam yang tidak bersetuju dengan kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkannya.

“Selain itu, rakaman percakapan semua saksi yang berkaitan juga sudah diambil untuk melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, wanita berasal dari Papar yang juga penuntut semester tiga Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu ditahan 12.30 tengah hari, selepas video ucapannya yang menyentuh kedudukan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Menurut Jasmin, hasil siasatan awal mendapati wanita itu adalah antara individu yang diberi peluang berucap dalam himpunan berkenaan sebelum kenyataannya disifatkan berbaur hasutan serta menimbulkan kegusaran awam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan; serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa polis akan menjalankan siasatan secara telus dan berlandaskan undang-undang, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan platform solidariti dengan kenyataan berbaur provokasi.

“Setiap orang berhak menyuarakan pendapat, namun gunakanlah ruang itu dengan penuh berhemah tanpa mencemari keharmonian masyarakat atau menimbulkan kebencian terhadap mana-mana pihak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top