Kontroversi membabitkan seorang penuntut universiti yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pijak al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau tidak wajar dipolitikkan atau diputar dengan naratif yang boleh mengeruhkan keadaan.

Motif diamkan isu agama lelaki pijak al-Quran
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar berkata keputusan mahkamah perlu dihormati dan kes itu kini diserahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang.
Menurut beliau, isu menjadi lebih rumit apabila timbul dakwaan pelajar berkenaan telah memeluk Islam sejak April lalu, namun perkara itu hanya didedahkan selepas lima hari kontroversi hangat diperkatakan.
“Persoalannya, apakah motif mendiamkan perkara tersebut pada peringkat awal sehingga persepsi awam terbentuk dengan naratif yang boleh mengeruhkan keadaan? Ramai bergaduh sesama sendiri berikutan insiden ini hingga tuding menuding agama, kepercayaan.
“Jika benar perkara itu sudah diketahui lebih awal tetapi tidak diperjelaskan, tindakan sebegini boleh disifatkan sebagai mengancam perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.

Isu pijak al-Quran sentuh isu 3R
Sivakumar menegaskan bahawa memilih agama adalah hak individu yang dijamin negara, namun penjelasan awal amat penting bagi mengelakkan salah faham serta implikasi sosial.
“Isu 3R sangat sensitif dalam konteks negara kita. Fikir sebelum bertindak. Jangan kerana mahu perhatian sementara, kita menggadaikan masa depan dan maruah diri sendiri,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa agama bukan ukuran utama dalam menentukan salah atau benar.
“Jika dia bersalah, maka dia perlu dihukum menurut undang-undang tanpa mengira agama, bangsa atau kecenderungan politik. Prinsip keadilan mesti ditegakkan secara adil dan saksama,” katanya.

Artikel lain: Firdaus Wong dedah perbualan dengan lelaki pijak al-Quran, bukti telah ucap syahadah
Dalam perkembangan berkaitan, pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung mendakwa individu terbabit seorang mualaf, namun semakan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mendapati pelajar berusia 21 tahun itu tidak berdaftar sebagai mualaf.




