BUTTERWORTH : Tidak sampai dua minggu didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana menyerang dua individu termasuk seorang anggota polis dengan kayu golf, seorang lelaki hari ini sekali lagi dihadapkan ke mahkamah yang sama atas pertuduhan mencuri telefon bimbit pula.
Tertuduh, Zul Mazuwan Zulhilman Suresh Kumar, 30, yang bekerja sebagai pemandu lori, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri harta dalam bangunan iaitu sebuah telefon bimbit jenama Oppo A79 milik seorang lelaki warga asing di sebuah kedai makan di Jalan Sungai Nyior di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, pada 15 Februari lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dikenakan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Farihin Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Ketika prosiding, Siti Nur Farahin memohon mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh, namun, peguam daripada YBGK mahu jaminan minimum diberikan atas alasan tertuduh berpendapatan rendah selain menghidap asma.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 April depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.
Dalam perbicaraan kes pukul menggunakan kayu golf pada 11 Februari lalu itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah dan dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM5,000 oleh mahkamah sementara menunggu tarikh sebutan semula kes iaitu pada 27 Mac depan.-UTUSAN




