Kes rabies di Kedah: JPVK ambil sampel 18 anjing liar

Kes rabies di Kedah: JPVK ambil sampel 18 anjing liar

Saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah (JPVK) mengambil sampel 18 anjing liar atau terbiar di Changlun, Kedah dan kawasan sekitarnya untuk ujian pengesahan rabies.

Ia susulan kes seorang lelaki di negeri itu yang maut pada Ahad lalu akibat virus berkenaan selepas digigit anjing terbiar pada Ogos.

JPVK dalam kenyataan berkata, selain itu, pihaknya menjalankan siasatan di lokasi dan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kubang Pasu bagi melaksanakan operasi menangkap anjing liar di sekitar kawasan kejadian.

Bagaimanapun, jabatan itu masih menunggu keputusan makmal bagi mengesahkan sama ada terdapat rabies dalam kalangan anjing di Kedah.

“Ini memandangkan Changlun terletak dalam lingkungan zon penampan rabies iaitu sepanjang 50 kilometer (km) dari sempadan Thailand.

“Di kawasan ini, semua anjing bertuan diwajibkan menerima vaksinasi rabies di bawah Akta Binatang 1953 bagi mengurangkan risiko penularan rabies ke kawasan lain,” menurut kenyataan.

Terdahulu, JPVK menerima makluman daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah pada 24 September lalu berhubung seorang lelaki berusia 31 tahun yang digigit anjing liar di Changlun, Kedah.

Rabies ialah penyakit anjing gila, yang menyerang sistem saraf dan boleh membawa maut. Anjing dijangkiti rabies akan menunjukkan perubahan tingkah laku seperti menjadi agresif atau terlalu jinak, gelisah, mengasingkan diri, menyalak atau menggigit tanpa provokasi, lemah, hilang koordinasi pergerakan, sukar menelan, mengeluarkan air liur berlebihan, lumpuh serta akhirnya mati.

Menurut JPVK, sehingga Ogos tahun ini, 504 anjing bertuan di daerah Kubang Pasu, manakala 1,349 ekor anjing bertuan di seluruh negeri Kedah sudah diberikan suntikan vaksin rabies.

“JPVK turut meneruskan program pengawasan rabies di semua daerah di negeri Kedah dan setakat Ogos tahun ini, sejumlah 164 sampel sudah diuji dan kesemuanya negatif rabies.

“Justeru, JPVK menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap risiko penyakit rabies dan jangan mendekati, menyentuh atau mengendalikan anjing liar, sakit atau yang menunjukkan perubahan tingkah laku luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, JPVK turut menggesa orang ramai melaporkan kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran sekiranya ternampak anjing liar yang sakit, agresif, lesu, lumpuh atau mati secara luar biasa.

Maklumat boleh disalur kepada Pusat Operasi Lapangan di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Kubang Pasu di talian 04-9162207 atau Pusat Operasi Negeri 04-702 5336.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran atau melalui talian hotline JPVK di 03-8870 2041.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top