Kes rakyat Malaysia seludup kokain di Jepun: Suspek dakwa petugas lapangan terbang dibayar untuk tutup mata

Kes rakyat Malaysia seludup kokain di Jepun: Suspek dakwa petugas lapangan terbang dibayar untuk tutup mata

TOKYO – Salah seorang daripada lima warga Malaysia yang ditahan di Jepun kerana cuba menyeludup kokain seberat lima kilogram mendakwa mereka diberitahu bahawa kakitangan lapangan terbang telah menerima rasuah bagi memastikan mereka tidak diperiksa.

Fuji News Network (FNN) pada Isnin memetik kenyataan suspek lelaki berusia 24 tahun itu berhubung cubaan menyeludup dadah melalui Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.

Bagaimanapun, rangkaian berita itu tidak menyatakan lapangan terbang yang dimaksudkan atau mengesahkan sama ada berlaku pemberian wang suapan kepada kakitangan lapangan terbang.

Menurut FNN, kelima-lima rakyat Malaysia itu dipercayai menerima tawaran berkenaan kerana masalah kewangan sebelum cuba membawa masuk kokain yang disembunyikan di bawah lapisan tapak kasut.

Kegiatan itu terbongkar selepas pihak berkuasa kastam mengesyaki salah seorang daripada suspek memakai kasut dengan tapak yang luar biasa tebal.

Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah berkenaan.

Setiap suspek dipercayai membawa kira-kira satu kilogram kokain dengan 500 gram disembunyikan dalam setiap kasut.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan dua lelaki dan tiga wanita itu ditahan pada 10 Oktober lalu.

Beliau berkata, polis akan menghantar pasukan penyiasat ke Jepun bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk kemungkinan penglibatan sindiket dadah tempatan dan antarabangsa dalam kes berkenaan. – Agensi

Scroll to Top