saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur: Orang ramai diingatkan untuk tidak melakukan sebarang ugutan di laman sosial terhadap ahli keluarga bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan itu disifatkan tidak wajar dan disifatkan melampaui batas.
Katanya, proses undang-undang sedang berjalan dan orang ramai jangan berlebih-lebihan kerana itu tidak membantu mana-mana pihak.
“Kita beri ingatan pada orang ramai supaya tidak berlebih-lebihan apalagi menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan ugutan dan sebagainya.
“Kita mesti ‘move on’ daripada peristiwa yang berlaku, itu harapan kita semua.
“Sebab melontarkan kata-kata ugutan tidak menguntungkan sesiapa, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Restoran Smith & Wollensky Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Rex Tan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam, susulan tiga laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Ia berhubung penularan rakaman video memaparkan Tan mengemukakan soalan kepada ahli politik United Kingdom (UK), George Galloway dalam wacana terbuka Gaza Expose The Complicity of International Actors.
Menyentuh mengenai keselamatan awam pula, beliau yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memainkan peranan bagi memastikan keselamatan orang ramai terjaga.
“Kuala Lumpur khususnya menjadi antara satu kota tumpuan pelancong dalam dan luar negara, lebih-lebih lagi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Justeru di peringkat Kementerian Dalam Negeri, tentunya perspektif keselamatan antara perkara yang dilihat.
“Apabila restoran berjenama antarabangsa ini memilih kota metropolitan Kuala Lumpur, ini sekali gus memberikan satu lagi pilihan kepada bukan saja rakyat Malaysia tapi juga pelancong luar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




