am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Empat suspek warga etnik Rohingya yang ditahan berhubung kes disyaki merogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di Kemaman Ogos lalu sudah didakwa atas kesalahan imigresen, manakala siasatan kesalahan seksual masih diteruskan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata kertas siasatan berkaitan kesalahan imigresen sudah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Terengganu sebelum arahan pertuduhan diperoleh.
Beliau berkata, keempat-empat suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman pada 30 Ogos lalu dan tidak dibenarkan jaminan.
Menurutnya, seorang lagi suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan selepas didapati mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.
“Bagaimanapun, siasatan berhubung kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk semula kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian susulan penyebaran gambar dan kenyataan di media sosial yang mempersoalkan perkembangan serta tindakan polis berhubung kes berkenaan.
Mohd Khairi berkata, polis memahami kebimbangan orang ramai, khususnya berkaitan keadilan kepada mangsa dan memberi jaminan setiap tindakan dilaksanakan berdasarkan fakta serta bukti yang diperoleh sepanjang siasatan.
Katanya, tindakan pendakwaan bagi sesuatu kesalahan perlu berdasarkan hasil siasatan, bukti mencukupi dan arahan pihak pendakwaan.
“Perkembangan tindakan pendakwaan bagi sesuatu kesalahan tidak bermakna keseluruhan proses siasatan sudah selesai, memandangkan kesalahan berbeza boleh membabitkan proses serta keperluan pembuktian berlainan,” katanya.
Beliau menegaskan, siasatan kes berkenaan akan diteruskan secara profesional, telus dan menyeluruh, dengan kebajikan serta kepentingan mangsa diberikan perhatian sewajarnya.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat kesimpulan awal di media sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan, mengganggu proses keadilan atau menyentuh privasi mangsa.
Polis turut menghargai kerjasama orang ramai dengan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




