Putrajaya: Peguam mewakili bekas Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong berhujah di hadapan Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini bahawa pembantu rumah warga Indonesia yang menarik balik dakwaan rogol terhadap anak guamnya, boleh berdepan tangkapan dan pendakwaan kerana memberikan keterangan palsu jika kembali semula ke Malaysia.
Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, tiada orang yang rasional akan kembali semula ke negara ini selepas mengaku mereka-reka tuduhan.
Dalam usahanya meyakinkan tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk mengakui penarikan balik itu sebagai bukti baharu, Teh membacakan petikan-petikan yang dirakam peguam Indonesia, Pathurrahman SH MH.
Antaranya, pembantu rumah terbabit mengaku salah menuduh Yong merogol kerana mahu pulang ke Indonesia sebelum kontraknya tamat dan meminta maaf serta menyesali perbuatannya.
Pembantu rumah itu juga menyatakan bahawa pihak yang tidak bersalah harus dibebaskan dan bahawa dia telah menarik balik tuduhannya terhadap Yong, tanpa kekerasan atau ugutan oleh sesiapa.
Di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Mac lalu, Pathurrahman telah membacakan kenyataan itu yang dirangka pada 21 Mei 2024, sehari selepas wanita terbabit menemuinya untuk memberikan keterangan.
Bagaimanapun, ia ditolak Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed yang memutuskannya sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai keterangan yang sah.
Wahab turut mempersoalkan mengapa pembantu rumah itu tidak dipanggil untuk memberi keterangan atau berada di Malaysia apabila bukti tambahan dikemukakan.
Hari ini, Wan Ahmad Farid mempertikaikan mengapa pembantu rumah itu tidak menyatakan dalam kenyataan bahawa dia tidak dapat pulang ke Malaysia untuk memberi keterangan.
Ketua Hakim Negara juga menyatakan bahawa Pathurrahman boleh datang ke Malaysia, tetapi bukan pembantu rumah, yang mana Teh menjelaskan bahawa wanita itu boleh ditangkap jika dia melakukannya.
Ketua Hakim Negara berkata bahawa Pathurrahman tidak menyatakan apa-apa berhubung penahanan dalam kenyataan berkenaan.
Teh menjawab, pembantu rumah itu berada di Indonesia, di luar pantai Malaysia.
“Jika dia melangkah kaki di Malaysia, berdasarkan kenyataannya bahawa dia mempunyai bukti palsu, kemungkinan besar dia akan ditangkap dan didakwa kerana memberi keterangan palsu kerana dia adalah saksi yang paling penting.
“Adalah di luar bidang kuasa mahkamah ini untuk mengeluarkan sepina untuk memaksanya datang.
“Kami meminta mahkamah ini membuat inferens untuk mengatakan bahawa dalam keadaan sedemikian, kerana sifat kenyataan di mana dia mengaku bahawa dia berbohong dalam kes mahkamah sebelum ini, adalah tidak masuk akal untuk dia datang,” katanya.
Teh berhujah bahawa mereka telah memenuhi prasyarat Seksyen 32(1) Akta Keterangan yang memperkatakan kebolehterimaan kenyataan yang dibuat oleh seseorang yang tidak dapat memberi keterangan di mahkamah atas sebab-sebab tertentu.
Teh berkata, Pathurrahman telah memberikan keterangannya di mahkamah yang diuji oleh pihak pendakwaan.
“Beliau tidak gagal dalam ujian dan tetap teguh dalam keterangan bahawa pembantu rumah itu berada di hadapannya dan telah mengarahkannya untuk menyediakan surat itu,” katanya.
Yong yang berpakaian sut, duduk di kandang tertuduh sepanjang prosiding tiga jam dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan rogol 2019, yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan tetapi mengurangkan hukuman penjara kepada lapan tahun dan mengekalkan dua sebatan rotan.
Wan Ahmad Farid, yang bersidang bersama hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah, kemudian menetapkan 29 Ogos ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran pihak pendakwaan.
Peguam Yong yang lain ialah Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir manakala Mohd Amril Johari mewakili pihak pendakwaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd