Kes saman Vivy Yusof tehadap seorang netizen

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Ogos ini selama dua hari bagi perbicaraan saman Datin Vivy Yusof terhadap seorang netizen atas dakwaan memfitnah menerusi laman sosial berhubung isu kerajaan membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas oleh penularan Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mohd. Syakirin Syazwan yang mewakili Alia Najwa Hassannudin, selaku defendan dalam kes saman itu ketika dihubungi hari ini.

“Mahkamah menetapkan 11 dan 12 Ogos ini untuk perbicaraan. Seramai lima saksi defendan termasuk anak guam saya akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu manakala plaintif (Vivy) akan mengemukakan tiga orang saksi,” katanya.

Hari ini adalah pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datin Rohani Ismail yang turut dihadiri peguam Pauling Hee mewakili Vivy.

Terdahulu mahkamah pada 7 Oktober tahun lalu telah mengarahkan defendan memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh 14 hari selepas saman itu disampaikan. Defendan kemudian telah memfailkan pembelaan itu pada 20 Oktober tahun sama.

Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 33, memfailkan saman fitnah itu melalui Tetuan Foong Cheng Leong & Co. pada 15 Jun tahun lalu dengan menamakan Alia Najwa selaku defendan tunggal.

Berdasarkan penyataan tuntutan melalui carian dalam e-filing, Vivy mendakwa pada 28 Mac lalu, beliau telah menerbitkan rakaman video di akaun Instagramnya berhubung perbualan empat usahawan berkaitan status ekonomi akibat Covid -19 dan Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Vivy berkata pada 30 Mac lalu, defendan telah menerbitkan beberapa penyataan berkenaan plaintif di akaun Facebook dan Instagram milik defendan dan secara salah menyatakan bahawa plaintif mempersoalkan tindakan kerajaan untuk membantu golongan B40 dan M40, sedangkan mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada ekonomi negara.

Usahawan wanita itu mendakwa penyataan-penyataan fitnah itu antara lainnya membawa maksud bahawa plaintif tidak bersimpati terhadap golongan B40 dan M40, bersikap angkuh, mementingkan diri sendiri dan tidak profesional serta hanya mementingkan keuntungan.

Plaintif juga mendakwa defendan turut berkata, dia tidak layak memegang jawatan di mana-mana organisasi dan terasing dengan masyarakat umum.

Sumber: K! ONLINE

Scroll to Top