Kes Sapura Energy: SPRM perluas siasatan ke luar negara

Kes Sapura Energy: SPRM perluas siasatan ke luar negara

PETALING JAYA: Siasatan Suru­han­jaya Pencegahan Rasuah Ma­­laysia (SPRM) terhadap tokoh kor­porat bergelar Tan Sri berhubung pemilikan saham dalam Sapura Energy Berhad (SEB) kini memberi tumpuan kepada unsur rasuah bernilai jutaan ringgit yang melibatkan beberapa syarikat berpangkalan di luar negara.

Menurut sumber, SPRM sedang dalam usaha mendapatkan keterangan dan dokumen pen­ting yang dipercayai berada di Singapura, Belanda dan Brazil.

Kerjasama dengan agensi penguat kuasa negara-negara tersebut sedang giat dijalankan bagi melengkapkan siasatan menyeluruh.

“Selain individu bergelar Tan Sri yang kini disiasat, beberapa individu lain termasuk pengarah syarikat dan pemegang saham berkaitan SEB turut akan dipanggil memberi kete­rangan dalam masa terdekat.

“Sehingga kini, lima orang saksi telah dirakam keterangan sejak siasatan bermula,” kata sumber tersebut kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, hasil serbuan SPRM di beberapa lokasi pen­ting termasuk ibu pejabat Sapura@Mines, Menara Permata Sapura (Sapura Holdings Sdn. Bhd.), serta kediaman Tan Sri tersebut di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur berjaya memperoleh pelbagai dokumen penting berkaitan kewa­ngan dan urusan korporat syarikat.

“Jumlah pembekuan akaun dibekukan SPRM adalah sama seperti dilaporkan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 83 akaun bank dibeku melibatkan lima individu dan 15 syarikat, dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM158.26 juta.

Siasatan SPRM terhadap tokoh korporat itu menjurus kepada isu ganjaran seperti gaji, bonus dan saham yang diterima secara meragukan, terma­suk juga yuran penjenamaan (branding fee) dan penempatan persendirian (private placement).

Difahamkan, kesalahan yang disiasat melibatkan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang berkait dengan salah guna kuasa.
Pada masa sama, siasatan turut menyentuh unsur pe­cah amanah, pemalsuan dokumen dan salah guna dana di bawah peruntukan Kanun Keseksaan.

Laporan media sebelum ini mendedahkan bahawa seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri sedang disiasat SPRM kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berkaitan pemilikan saham SEB bernilai lebih RM500 juta.

Individu tersebut telah ha­dir ke Ibu Pejabat SPRM pada 5 dan 6 Mei lalu untuk dirakam keterangan, namun belum ada tangkapan dibuat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya pada Mac lalu berkata kerajaan telah memulakan audit forensik ke atas SEB melalui pelantikan firma audit antarabangsa, Ernst & Young, bagi memastikan ke­telusan dan akauntabiliti dalam penstrukturan semula syarikat tersebut.

Menurut Anwar, suntikan modal berjumlah RM1.1 bilion kepada SEB bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya me­rupakan pinjaman yang perlu dibayar semula. – UTUSAN

Scroll to Top