am@hmetro.com.my
Putrajaya: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meminta semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan termasuk berhubung laporan perubatan anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau berkata, kes membabitkan serangan ke atas anak Ahli Parlimen Pandan itu masih di peringkat siasatan.
“Ia adalah satu yang akan memerlukan masa untuk siasatan dan rawatan, kita perlu mengizinkan siasatan itu berada di atas landasannya.
“Kita kena bersabar sedikit untuk mendapatkan satu dapatan dan hasil yang saya yakin adalah dapat mengadili perkara ini dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Inisiatif ‘Cancer Care Closer to Community’ antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Roche Malaysia di sini, hari ini.
Pada 13 Ogos lalu, Rafizi sebelum ini mengesahkan anaknya diheret dan disuntik dengan jarum suntikan oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Beliau berkata, dua lelaki yang menaiki motosikal itu mengekori kereta isterinya sebelum serangan berlaku dan percaya serangan itu dirancang lebih awal.
Siasatan kes serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, kini diambil Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, penyerahan kes itu kepada Bukit Aman selaras keperluan siasatan yang lebih menyeluruh dan berpusat.
© New Straits Times Press (M) Bhd