Kes Solar: Hakim mesti tulis draf sendiri, bukan pegawai penyelidik – Peguam Rosmah

Kes Solar: Hakim mesti tulis draf sendiri, bukan pegawai penyelidik – Peguam Rosmah

surayaroslan@mediaprima.com.my

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini, diberitahu semua draf alasan penghakiman mesti ditulis sendiri oleh hakim yang mendengar kes, bukan pegawai penyelidik mereka kerana ia boleh menjejaskan integriti dan kebebasan kehakiman.

Peguam kanan, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor berkata demikian ketika berhujah bagi permohonan untuk menggugurkan hakim perbicaraan yang mensabitkan Rosmah selaku perayu dalam kes rasuah projek tenaga solar bernilai RM1.25 bilion.

Permohonan itu difailkan pada 2022 bagi menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamed Zaini Mazlan atas alasan penghakiman kes itu didakwa bocor.

Jagjit berkata, tindakan menyerahkan kepada pihak ketiga iaitu pasukan Bahagian Penyelidikan untuk menyediakan alasan penghakiman sama ada dalam bentuk draf atau akhir, sama sekali tidak boleh diterima, dikesali dan sangat memudaratkan.

“Perkara ini adalah bahaya kerana boleh berlakunya berat sebelah dan ketidakadilan berikutan cara permohonan itu didengar dan diputuskan oleh hakim.

“Perayu tidak mendapat perbicaraan yang adil apabila hak dan kebebasan perlembagaan dilanggar dan ini menyebabkan berlakunya ketidakadilan yang serius terhadap perayu. Oleh itu, perayu memohon supaya rayuan ini dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, draf itu jelas disediakan untuk rujukan hakim, namun menegaskan alasan penghakiman mesti ditulis oleh hakim sendiri kerana ia mencerminkan pertimbangan dan dapatan mereka.

“Tiada salah hakim guna pegawai penyelidik, tapi keputusan mesti datang daripada hakim. Bila kelakuan anggota kehakiman dipersoal, ia jadi isu besar kepada rakyat.

“Ketika perbicaraan, dua pegawai Bahagian Penyelidikan ditempatkan berhampiran peguam bela dan dilihat mencatat nota. Kenapa mereka ada di situ? Siapa arahkan?” katanya di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Turut bersidang, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

“Tindakan hakim mewujudkan keadaan yang menimbulkan bahaya sebenar berlakunya berat sebelah. Prinsip utama ialah hakim sendiri mesti tulis alasan penghakiman mereka,” katanya.

Pendengaran bersambung 25 Jun ini.

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 74, dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, namun ia berjalan serentak, bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.

Dia juga didenda RM970 juta, dan jika gagal membayar denda itu, Rosmah boleh dihukum penjara selama 30 tahun.

Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini, peguam yang mewakili Rosmah memohon supaya mahkamah terlebih dulu mendengar rayuan anak guamnya berhubung keputusan Mohamed Zaini yang menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan dirinya daripada mendengar serta mengadili kes solar itu.

Permohonan untuk menyingkirkan Mohamed Zaini dibuat dua hari sebelum keputusan diumumkan, atas alasan penghakiman kes itu didakwa bocor.

Peguam juga memberitahu bahawa pasukan pembelaan memfailkan hujahan setebal 700 muka surat untuk rayuan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top