Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tujuh suspek yang ditahan berkaitan kes tembak kenderaan Proton X70 dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, kelmarin mempunyai kaitan dengan Geng Pak Su.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata, siasatan setakat ini mendapati mereka kenal dan rapat dengan ahli geng terbabit. Namu, siasatan masih berjalan.
“Setakat ini pistol yang digunakan dalam kejadian itu belum ditemui,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Harian Metro semalam melaporkan polis menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita warga Thailand susulan kejadian kenderaan Proton X70 dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, ditembak.
Adzli dilaporkan berkata, enam suspek adalah lelaki warga tempatan dan seorang lagi suspek wanita adalah warga Thailand yang dipercayai isteri kepada salah seorang suspek lelaki yang ditahan.
Beliau berkata, kesemua mereka berusia 22 hingga 52 tahun dan ditahan dalam serbuan Ops Tutup yang dilancarkan Bahagian Siasatan Khas (D9)Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah.
Katanya, kesemua mereka yang ditahan adalah penduduk yang tinggal di kawasan perumahan berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Adzli berkata, suspek suami isteri berjaya ditahan di kawasan pemeriksaan pintu sempadan Padang Besar, Perlis pada 12.30 tengah hari kerana cuba melarikan diri ke negara jiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




