Kes tembak mati, polis tahan dua suspek

Kes tembak mati, polis tahan dua suspek

KUALA LANGAT: Polis menahan dua suspek berusia 19 dan 32 tahun selepas disyaki terlibat dalam kejadian tembak mati seorang lelaki dekat Jalan Sungai Buaya di Sungai Jarom, pada 18 Mei lalu.

Kedua-dua mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada lima hari selepas insiden terbabit.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh, polis kini mengesan dua lagi suspek yang dikatakan turut terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.

“Tangkapan dua lelaki warga tempatan dilakukan pada Selasa lalu pukul 6.30 petang di sekitar pekan Banting dan direman selama tiga hari sehingga esok untuk membantu siasatan kes bunuh tersebut.

“Polis sedang giat mengesan dua lagi individu bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan di talian 03-31872222.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki maut dengan empat kesan tembakan pada bahagian kepala dalam satu kejadian berhampiran Balai Polis Sungai Jarom.

Menurut Ahmad Ridhwan pihaknya menerima aduan mengenai kejadian tembakan daripada seorang anggota sukarelawan polis kira-kira pukul 11.30 malam.

Katanya, pengadu sedang membuat rondaan keselamatan di balai polis berkenaan dan mendengar beberapa letupan kuat berhampiran kawasan berkenaan sebelum mendapati seorang lelaki warga tempatan terbaring dekat bahu jalan dalam keadaan berlumuran darah. – UTUSAN