Kes tembak Meru, polis siasat elemen kongsi gelap

Kes tembak Meru, polis siasat elemen kongsi gelap

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis menyiasat jika ada elemen kongsi gelap dalam kes lelaki ditemukan mati ditembak dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Taman Meru Utama, Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata setakat ini pihaknya sudah memanggil beberapa individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal mangsa yang bekerja sendiri itu sedang menemani rakannya yang hendak membeli motosikal terpakai di kedai terbabit.

“Mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat dan proses bedah siasat masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar kejadian.

Semalam, Vijaya Rao dilaporkan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 3.37 petang dan setibanya anggota di lokasi telah menemukan mayat warga tempatan berusia 46 tahun di tempat duduk pemandu dalam keadaan mengiring.

Sementara itu, seorang peniaga wanita berusia 50 an memberitahu beliau terdengar bunyi seakan tembakan atau mercun sekitar jam 3 petang.

“Saya dan beberapa orang lagi di kedai memang dengar bunyi tersebut, saya ingat orang tembak gagak (operasi menembak burung gagak) atau main mercun.

“Selepas saya lihat orang berkumpul di sekitar kereta mangsa, baru saya tahu bahawa ada orang kena tembak di hadapan kedai motosikal.

“Bunyi itu tidak begitu kuat tapi saya dengar dalam lima ke enam kali,” katanya.

Tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top