Kes tetak abang ipar: Suspek direman 6 hari

Kes tetak abang ipar: Suspek direman 6 hari

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Lelaki yang ditahan polis kerana disyaki menetak abang iparnya sehingga putus kepala di kawasan sawah Kampung Pida 3, Jerlun semalam direman enam hari untuk membantu siasatan.

Permohonan reman diperoleh daripada Majistret Mahkamah Alor Setar, Siti Masliza Md Ali bermula hari ini sehingga 6 November bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek bebas dari pengaruh dadah.

“Mayat mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut dengan kepalanya putus akibat ditetak adik ipar dalam satu pergaduhan di kawasan sawah di Kampung Pida 3, dekat sini, malam tadi.

Selain itu, polis turut menemui beberapa tetakan di badan mangsa selain bahagian kepala yang putus kira-kira satu meter dari badan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top