Kes tiga lelaki ditembak mati: Polis terima CD audio daripada ahli keluarga suspek

Kes tiga lelaki ditembak mati: Polis terima CD audio daripada ahli keluarga suspek

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis sudah menerima sekeping cakera padat (CD) yang diserahkan ahli keluarga kepada salah seorang suspek dalam kes tembak mati di Durian Tunggal, Melaka.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, CD itu dipercayai mengandungi rakaman audio perbualan telefon antara suspek dan isterinya sebelum kejadian berkenaan.

Menurutnya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menubuhkan pasukan siasatan khas yang diketuai oleh seorang pegawai kanan berpangkat Senior Asisten Komisioner bagi mengambil alih dan mengendalikan siasatan secara menyeluruh di peringkat Bukit Aman pada 3 Disember lalu.

“Langkah diambil bagi memastikan setiap aspek siasatan diteliti secara teratur, profesional dan tanpa sebarang kompromi.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan berintegriti, serta tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, masyarakat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan integriti siasatan.

“PDRM turut mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung insiden ini melalui talian hotline 019-376 4763, dan menghargai kerjasama masyarakat dalam usaha menjaga keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, JSJ Bukit Aman mengambil alih siasatan kes tiga suspek yang ditembak mati selepas mencederakan anggota polis dalam kejadian di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu.

Terdahulu media melaporkan, tiga penjenayah paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, ketiga-tiga suspek ditembak mati oleh sepasukan polis selepas bertindak menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian 4 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top